Thursday, 26 April 2012

Menara Pisa


Pembinaannya pada tahun 1154. Hanya tiga tingkat daripada lapan tingkat menara itu yang dapat disiapkan sebelum menjadi condong disebabkan oleh kelembapan tanah liat yang tidak dapat menyokong keseluruhan bangunan itu. Menara yang mempunyai ketinggian 56 meter ini didapati semakin senget dan keadaan ini telah mencetuskan kebimbangan kepada para arkitek bahawa bangunan ini tersembam ke tanah dalam sedikit masa lagi. Namun begitu, selepas hampir setahun berlalu, Menara Pisa masih berdiri dengan kukuh dan berbagai-bagai usaha telah dibuat untuk memastikan binaan ini terus berada pada posisi asalnya. Sebagaimana binaan lain, pembinaan Menara Pisa mengambil masa 200 tahun untuk disiapkan. Pembinaan menara ini tergendala beberapa kali kerana keadaan tanah yang mendap dan masalah kewangan.

Para jurutera yang membina menara ini berasa ragu-ragu untuk meneruskan kerja-kerja pembinaan kerana khuatir bangunan ini akan tumbang sebelum dapat disiapkan. Biarpun kebimbangan itu berasas tetapi tidak pernah menjadi kenyataan, lantas menjadikan menara ini terus diselubungi dengan misteri mengenai kedudukannya yang senget itu. Arkitek yang bertanggungjawab membina menara ini ialah Bonanno Pisano. Beliau hanya sempat menyiapkan tiga tingkat sahaja sebelum menghilangkan diri. Terdapat berbagai-bagai jawapan telah cuba diutarakan untuk menjelaskan kehilangannya.

Ada pengkaji menyatakan bahawa Pisano berhenti kerana dapat melihat bencana yang bakal melanda menara itu. Tidak kurang juga yang berpendapat bahawa menara itu sengaja dicondongkan oleh Pisano bagi menunjukkan kehebatannya sebagai seorang ahli arkitek yang tersohor pada zamannya.

Hampir 90 tahun bangunan itu dibiarkan sehingga seorang arkitek bernama Giovanni dari Simone menyambung pembinaannya. Seperti Pisano, arkitek itu hanya mampu menyiapkan tiga tingkat bermula daripada tingkat lima, enam dan tujuh. Menara itu hanya dapat disiapkan sepenuhnya 80 tahun kemudian dengan pembinaan tingkat lapan yang berkubah. Dalam kubah itu ditempatkan beberapa buah loceng yang setiap satunya seberat satu setengah tan. Loceng itu akan dibunyikan bagi merayakan sesuatu kemenangan dan tanda berlakunya kematian. Kini loceng itu tidak lagi dibunyikan bagi mengelakkan sebarang getaran yang boleh meretak dan meranapkan menara itu. Bagi menghindarkannya daripada menyembah bumi, para saintis telah mengikat menara ini dengan kabel logam. Kabel itu berperanan sebagai sokongan kepada Menara Pisa yang didapati condong satu inci pada setiap tahun.

Kenapakah Menara Pisa boleh condong sedangkan bangunan di kawasan sekitarnya berada dalam keadaan yang elok. Kajian yang dibuat pada tapak binaan itu mendapati tanahnya mengandungi pasir dan tanah liat yang tidak stabil serta mengandungi kuantiti air yang banyak. Tapak yang menjadi asas pembinaan menara itu pula merupakan bekas lagun lama yang mengalami kesan pasang surut air. Malahan kesan pasang surut itu masih lagi berlaku sehingga kini menyebabkan mendapan berlaku dan mengakibatkan menara itu terus condong ke sebelah kiri. Walaupun Menara Pisa dibina dengan asas lantai dan konkrit setebal 13 kaki tetapi masih tidak dapat menampung beban dan berat menara seberat 14,500 tan. Sebarang bentuk pergerakan yang berlaku di bawah tanah sudah tentunya akan menyebabkan menara ini rebah. Yang lebih menakjubkan ialah gempa bumi yang berlaku pada tahun 1846 tidak sedikit pun menjejaskan struktur Menara Pisa.

Sesungguhnya menara ini mempunyai daya ketahanan yang cukup hebat. Jika tidak, sudah lama menara ini rebah menyembah bumi. Bagi mengelakkan sebarang kemungkinan daripada berlaku maka kenderaan bermotor dilarang menghampiri menara itu. Pada masa yang sama, pelbagai ikhtiar sedang dijalankan untuk mempertahankan mercu tanda yang menjadi kebanggaan warisan tamadun barat. Selain menjadi daya tarikan jutaan pelancong, bangunan ini mempunyai nilai sejarah yang tinggi. Menara Pisa memiliki nilai seni dan estetika yang mengagumkan.

Sesiapa yang berpeluang mendaki 294 anak tangga menuju ke puncaknya akan melihat satu pemandangan yang menarik dari atas bangunan itu. Menara ini juga pernah digunakan oleh Galileo Galilei untuk melakukan demonstrasi sainsnya. Ujian yang dilakukan pada tahun 1589 mendapati bahawa setiap objek berlainan berat yang dijatuhkan mempunyai kelajuan yang serupa.

Tiada siapa pun yang berani meramalkan bilakah menara ini akan tumbang. Tetapi ramai yang percaya bahawa binaan ini akan rebah pada suatu hari nanti. Keyakinan ini berasaskan kepada keadaan yang semakin condong berbanding pada peringkat awal pembinaannya. Ukuran yang dibuat pada masa dahulu menunjukkan menara itu condong 0.04 inci setahun. Tetapi sekarang kecondongannya meningkat kepada 0.06 inci setahun. Meskipun tapak asas bangunan itu telah diperkuatkan dengan memasukkan 93 tan konkrit tetapi nampaknya masih tidak dapat menghalang pergerakan bangunan itu. Begitu juga dengan langkah menyalurkan keluar air hujan daripada bahagian bawah masih tidak berupaya mengelakkan daripada terus tenggelam. Pada tahun 1573, usaha untuk menguatkan tapak asas telah dilakukan dengan melekatkan kepingan marmar tetapi malangnya marmar itu telah tenggelam bersama-sama dasar bangunan.

Cabaran terbesar yang dihadapi oleh menara ini ialah kecondongannya bukan disebabkan oleh masalah hakisan, pergerakan tanah atau tindak-tanduk manusia. Pada Perang Dunia Kedua, sebahagian daripada tingkat atas bangunan itu rosak teruk kerana bedilan peluru meriam. Namun, bedilan meriam ini masih gagal meruntuhkan bangunan yang berusia satu kurun itu. Musuh terbesar kepada menara ini ialah daya tarikan graviti yang secara perlahan-lahan menyebabkan bangunan itu sengit sehingga 14 inci daripada kedudukan tegaknya.

No comments:

Post a Comment